Monday, June 20, 2011

Tibi tidak mengenal mangsa


KEHADIRAN penyakit ini di kalangan masyarakat memang tidak disedari kerana ia merebak melalui udara dan titisan cecair badan daripada pesakit kepada orang lain. Penyakit ini berjangkit dengan mudah dan tidak mengenal mangsa.

Seseorang yang terdedah kepada udara yang tercemar dengan kuman tibi akan menghidu kuman ke dalam saluran pernafasan melalui hidung, mulut, larinks dan kuman boleh hinggap di mana-mana sahaja bahagian tersebut.


Tidak ketinggalan, kebanjiran pendatang asing juga dikaitkan dengan penyebaran tibi secara meluas.
Lima tahun lalu, jumlah pesakit tibi di kalangan pekerja asing (dari Indonesia, Filipina, Myanmar dan Bangladesh) meningkat kepada 11 peratus dan turun ke paras lapan hingga sembilan peratus dalam dua tahun kebelakangan ini.

Melalui pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan Agensi Pengawasan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), pekerja asing yang didapati ada parut pada paru-paru mereka akibat tibi tidak dibenar bekerja di negara ini.

Yang menjadi masalah ialah, bagi setiap pekerja asing yang datang secara sah, dua atau tiga lagi yang berkemungkinan dijangkiti kuman tibi masuk secara haram. Ini menyebabkan kawalan penyakit tibi lebih sukar.

Hakikatnya, rawatan perubatan moden untuk penyakit tibi adalah yang paling berkesan dan paling murah untuk sesuatu penyakit yang boleh membawa maut, tibi masih lagi merupakan salah satu punca utama kesengsaraan dan kematian di seluruh dunia.

Penyakit tibi dikatakan wujud sejak dari tahun 8,000 sebelum Masihi di mana terdapat kesan-kesan penyakit tibi di tulang belakang mumia Firaun.

Pada tahun 460 sebelum Masihi, Hippocrates iaitu bapa perubatan telah menamakan penyakit itu sebagai pthisis.

Ibnu Sina di dalam bukunya Kanun Perubatan mengetahui bahawa tibi diumpamakan sebagai suatu penyakit yang berjangkit.

Pada kurun ke-16, tibi dikenali sebagai consumption. Di Malaysia, pada kurun ke-20 penyakit ini dikenali sebagai “batuk kering”.

Pada tahun 1950-an, penyakit tibi merupakan pembunuh utama penduduk di Tanah Melayu (Malaya). Pada tahun 1961, Program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan dan semua pesakit tibi dirujuk ke Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori).

Pada kurun ke-19, tibi hampir memusnahkan seluruh Eropah dan Amerika. Tibi pada masa itu juga dipanggil hawar putih untuk menyamakannya dengan penyakit hawar hitam (plague) yang telah meragut banyak nyawa di benua Eropah dan Amerika pada kurun ke-18.

“Musuh” kepada kesengsaraan dan kematian manusia ini telah dikenal pasti oleh seorang ahli sains bernama Robert Koch. Beliau menemui bakteria mycobacterium tuberculosis pada 24 Mac 1883.
Mengambil sempena penemuan bakteria pada tarikh itu, 24 Mac telah dijadikan hari memperingati tibi sedunia pada tiap-tiap tahun.

Penyakit tibi tidak mengenal batasan sama ada kekayaan atau kemasyhuran seseorang.
Sebagai contoh, Elanor Roosevelt iaitu bekas wanita pertama Amerika dan George Orwell, pengarang buku pada tahun 1984 telah diserang penyakit tibi.

Menurut Pakar Perubatan dan Kardiologi Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Kol (B) Dr. Abd Rahman Mohd Ali, penyakit berjangkit yang disebabkan bakteria dan paling tertua di dunia.

Statistik menunjukkan 10,000 hingga 12,000 tibi menyerang penduduk Malaysia setiap tahun.
Kuman Mycobacterium tuberculosis merebak melalui udara dan titisan daripada pengidap penyakit tibi aktif.

 
“Jika anda mengalami batuk teruk yang melebihi dua minggu, minta doktor lakukan ujian kahak untuk anda. Batuk teruk yang berpanjangan dan tidak sembuh dengan ubat batuk biasa adalah petanda utama penyakit tibi.

“ Orang ramai pada hari ini, terutama golongan muda, tidak tahu tentang tibi kerana ia jarang diperkatakan dan dianggap penyakit lama yang bukan lagi menjadi ancaman utama kesihatan. Namun, sehingga hari ini, tiba masih juga belum dapat dibendung,” katanya.

Tambah Dr. Abd Rahman, penyakit ini boleh berjangkit dengan mudah kerana ia tersebar melalui udara seperti demam selsema. Bahkan, ia boleh berjangkit melalui air liur dan hingus hanya dalam beberapa jam.

Selain itu, kurangnya pengetahuan rakyat terhadap kewujudan dan tanda penyakit ini dan kekurangan kemahiran anggota keselamatan untuk melakukan pemeriksaan saringan dan makmal bagi mengesan penyakit tibi.

Dalam konteks ini, ramai yang mengetahui bagaimana penyakit ini merebak dan tibi yang disebabkan bakteria tuberkulosis dengan mudah merebak melalui udara.

“Sesiapa yang terdedah kepada bakteria ini boleh mendapat jangkitan. Bakteria ini masuk ke badan seseorang melalui saluran pernafasan sebelum ia menyerang paru-paru. Kuman tibi boleh merebak apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk, bersin, ketawa atau bercakap sehingga terpercik air liur,” katanya.

Oleh itu, Dr. Abd Rahman menasihatkan agar orang ramai menutup mulut dengan sapu tangan atau tisu setiap kali batuk mahupun bersin.

“Malangnya tidak ramai mengamalkan saranan ini. Masyarakat perlu jelas bahawa semua orang berisiko mendapat jangkitan, terutama golongan tua dan kanak-kanak di bawah empat tahun, tetapi sama ada ia menyebabkan penyakit atau tidak bergantung kepada daya ketahanan badan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kuman tibi boleh hidup bertahun-tahun dalam badan manusia secara tidak aktif tanpa menyebabkan masalah dan individu begini dikelaskan sebagai pembawa kuman dan tidak menjangkiti orang lain.

Bahkan, seseorang hanya dikelaskan sebagai pesakit tibi apabila jangkitan itu membuatkan dia sakit. Dalam keadaan ini, dia boleh menjangkiti orang di sekeliling, khususnya orang tua dan kanak-kanak, jika tidak diberi rawatan segera.

“ Bukan semua orang yang dijangkiti kuman tibi akan menghidap penyakit ini. Mendapat jangkitan tidak bermakna akan menghidap penyakit kerana dalam keadaan biasa, sistem imun badan baik boleh menghapuskan kuman tibi dengan mudah.

Penyakit tibi berlaku dalam dua keadaan. Pertama, kuman tibi hidup dalam paru-paru seseorang selama lima hingga tujuh tahun tanpa menimbulkan gejala hingga individu berkenaan mengalami masalah kesihatan yang melemahkan sistem imunnya,” katanya.

Apabila ini berlaku, kuman tibi mula menyerang paru-paru secara aktif.
Kedua, serangan kuman tibi berlaku dengan cepat dalam masa beberapa minggu selepas dijangkiti. Ini biasanya berlaku pada pesakit yang mengalami masalah lemah daya tahan badan seperti pesakit Aids, kencing manis dan buah pinggang.


Walaupun mudah berjangkit, tibi boleh dicegah melalui dua cara. Pertama dengan memberi suntikan vaksin BCG bagi bayi baru lahir dan ketika berumur tujuh tahun; jika tiada parut pada lengan.

“Jika dulu kanak-kanak diberi suntikan kedua untuk memantapkan sistem imun terhadap jangkitan tibi, kaedah itu dihentikan apabila kajian mendapati ia tidak meningkatkan tahap ketahanan. Satu suntikan BCG ketika bayi sudah mencukupi untuk memberi perlindungan sebanyak 30 hingga 80 peratus.

“Namun, kita tidak boleh yakin sepenuhnya dengan pemberian vaksin ini. Apa yang penting kesedaran rakyat menyedari tanda-tanda awal tibi. Kemudian, berjumpa doktor untuk melakukan ujian tibi seperti ujian mantaoux., Ujian ini ialah ujian yang dilakukan untuk menyiasat jangkitan tibi pada seseorang. Lebih berkesan, doktor akan melakukan ujian ke atas kahak” katanya.

Perlu diingat suntikan BCG tidak menahan sepenuhnya seseorang itu daripada penyakit tibi. Seseorang yang pernah menghidap tibi boleh mendapat jangkitan berulang selagi ada sumber jangkitan (pesakit tibi yang tidak dirawat).

Kaedah kedua ialah pemeriksaan ahli keluarga terdekat atau rakan yang rapat dengan pesakit sebaik pesakit disahkan menghidap tibi.

Dr. Abd. Rahman menjelaskan, tanda batuk juga mempunyai beberapa kategori sama ada batuk berkahak atau tidak atau pun berdarah tetapi ia kebiasaannya akan melebihi jangka masa yang panjang iaitu dua minggu.
“Jika anda mempunyai tanda seperti ini, segera ke berjumpa doktor melakukan ujian tibi,” katanya.
Mengulas tentang kebanjiran pendatang asing yang mempengaruhi kemunculan semula tibi di Malaysia, Dr. Abd Rahman menyarankan mereka diberi suntikan BCG apabila memasuki Malaysia.

“Memang mereka akan didapati negatif ketika melakukan ujian tibi pada awalnya. Tetapi perlu diingat bakteria tibi boleh ada dalam diri seseorang tanpa sedar dan ia akan tidur dalam tempoh yang lama sebelum ia aktif menyerang paru-paru pada masa yang kita tidak ketahui.

Masyarakat juga perlu lebih peka dan menghindari kawasan sesak yang boleh memberi risiko seperti kawasan dewan tertutup. Tidak ada masalah jika masyarakat mengamalkan pencegahan seperti menutup mulut ketika batuk dan sebagainya,” jelasnya.

Sumber : di sini

No comments:

Post a Comment