Monday, June 20, 2011

Tibi: Kementerian Kesihatan perlu bertindak segera




KUALA LUMPUR, 10 Jun: Kementerian Kesihatan digesa bertindak segera untuk membanteras penyakit Tibi yang sedang menular di Selangor sekarang, terutama di kawasan Ampang Jaya.
Pihak kementerian juga digesa mengadakan gerak kerja pengesanan penyakit itu di sekolah-sekolah, tapak-tapak pembinaan dan penempatan-penempatan warga asing di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad menjelaskan, tindakan segera dari Kementerian Kesihatan amat perlu berikutan beberapa kes penyakit Tibi yang dikesan oleh Hospital Ampang baru-baru ini.
Menurut beliau, contohnya, seorang pengetua sekolah di Pandah Indah telah koma baru-baru ini selama 28 hari kerana diserang penyakit itu.

Katanya, oleh itu, satu kempen kesedaran perlu diadakan agar masyarakat dapat mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit yang merbahaya itu.

"Pihak kementerian juga mesti mengadakan gerak kerja pengesanan di sekolah-sekolah, tapak-tapak pembinaan dan penempatan-penempatan warga asing seperti di Kampung Pandan, Pandan Mewah dan Lembah Jaya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Adun Chempaka menjelaskan, menurut beberapa pihak, penyakit Tibi itu telah dibawa masuk ke negara ini oleh pendatang-pendatang asing.

Katanya, penyakit Tibi telah hampir pupus di negara kita, tetapi kini telah muncul kembali apabila berlaku kebanjiran pendatang asing.

"Kementerian Kesihatan mestilah memandang serius perkara ini dan tidak menunggu sehingga lebih ramai penduduk Ampang Jaya dijangkiti penyakit tersebut," katanya. 

Dipetik daripada : Harakah daily

No comments:

Post a Comment