Friday, July 13, 2012

JANGAN TIRU MACAM DIA


 What is G6PD?”
Doktor Riduan bertanya sambil berpaling menghadap saya, menunggu jawapan yang diharapkan tentunya.
Glucose 6 Phospate Dehydrogenase.” Saya menjawab yakin. Sejak dari tahun satu lagi perkataan itu didengari, alhamdulillah pada tahun klinikal seterusnya ia sudah tidak begitu asing di telinga.

Mode of inheritance?” Soalan bertalu lagi. Kebetulan saya sudah selesai Pediatric Round pada waktu itu. Jawapan yang diharapkan daripada seorang pelajar tahun lima seperti saya pastilah untuk menguji tahap kefahaman. Saya menarik nafas panjang.

“X-linked,” saya menjawab perlahan. Sedikit ragu. Ada suara menjerit-jerit dalam kepala, “Recessive! Recessive! Recessive!” Dek kerana ragu, saya biarkan sahaja tidak disebut.

Doktor Riduan mengangguk. Kembali memeriksa pesakit dengan G6PD Deficiency dalam klinik Pediatrik tersebut. Beberapa hari yang dihabiskan di wad Pediatrik dan di klinik pada pagi harinya pada saya cukup mengujakan.

Kerjaya sebagai seorang doktor Perubatan bukanlah semudah menghafal setiap fakta yang dicetak di buku kemudian dimuntahkan sewenangnya di hadapan pesakit. Kita punya banyak ensiklopedia dan buku-buku tebal seberat kampit beras untuk menggantikan peranan itu.

Menjadi doktor bermaksud mengaplikasikan kefahaman yang diperolehi dari lambakan fakta yang ada untuk dimanfaatkan merawat pesakit, yang kadangkala datang dengan symptoms dan signs yang tidak tersusun cantik serupa dengan yang ada di dalam buku. Dengan sejuta misteri menunut diagnosis yang menjadi teka-teki!

Menjadi doktor juga bermaksud anda perlu tahu menterjemahkan ilmu yang diperolehi ke dalam bahasa yang mudah difahami orang awam, sekurang-kurangnya untuk berkomunikasi dengan pesakit anda. Mustahil anda tidak pernah mendengar cerita doktor yang bisu, memahami bahasa buku tetapi di depan pesakit menjadi kaku. Itulah antara soft skills yang perlu dipelajari, sekurang-kurangnya bukan dalam masa setengah hari. 

Perjalanan menjadi pegawai Perubatan bukan sekadar 6 tahun yang anda bayangkan perlu untuk memegang ijazah itu, bukan. Ia jauh lebih lama daripada itu. Sepanjang hayat, barangkali.

Merenung-renungkan masa yang benar-benar diperlukan untuk seorang doktor mengutip ilmu, apakah berbaloi jika penipuan semasa di dewan peperiksaan dilakukan untuk menutup ketidaktahuan yang bakal meragut nyawa insan?

Satu perbandingan yang tidak keterlaluan saya kira, andai realiti dunia perubatan yang menuntut kita belajar secara berterusan dicermati dan difahami.

Allah bersifat dengan sifat Maha Melihat. Seandainya pengawas peperiksaan tidak melihat perbuatan meniru itu kerana keterbatasan dirinya sebagai manusia, sesungguhnya Allah tidak pernah lalai dari perbuatan hambaNya. Bahkan malaikatNya sedia mencatat gerak-geri dan amalan insan.

Persoalannya, di manakah letaknya IMAN KEPADA ALLAH dan MALAIKATNYA di saat itu?
Seandainya persediaan yang kurang menjadi sebab yang membolehkan pesta meniru tersebut dibolehkan, ketahuilah anda tidak menjadi lebih bijak atau lebih baik daripada mereka yang gagal tanpa meniru. Ilmu tidak bertambah, bahkan tercatat dosa. Kesenangan hasil dari penipuan ini hanya sementara, bahkan ia datang kerana kelemahan kita mengurus masa. Akhirnya persediaan menghadapi peperiksaan tidak sempurna, tetapi meniru tidak sekali-kali menjadi penyelesaiannya.

Allah menciptakan kita dengan kebolehan diri yang tersendiri, usah dengki pada mereka yang barangkali lebih mudah memahami apa yang diajari. Jangan dipertikaikan kurniaan Allah, di situlah yang membezakan kita, pada usaha yang akan membuahkan pahala. Ukur baju di badan sendiri. Persediaan awal perlu sekiranya merasa diri tidak sehebat teman lain. Tentulah penghargaan manusia diperolehi andai keputusan cemerlang diperolehi dengan meniru, tetapi kita dengan mudah menggadai prinsip diri. Menjadi pelajar perubatan yang ingin dipuji, padahal hakikatnya kosong tidak berisi.

Yakinlah dengan pertolongan Allah, dan berusahalah!

Kecelaruan faham bahawa kerjaya perubatan adalah seperti bidang akademik yang lain, yang hanya melibatkan hafal fakta mengakibatkan jalan pintas sebegini diambil. Kesenangannya hanya sementara, tetapi kesusahannya adalah selamanya. Ilmu itu tetap mendiami buku, tetapi tidak tersimpan di dada. Rakan sekerja mungkin tidak akan percaya dengan anda yang punya sijil yang dicita-citakan itu, melihat kepada skills dan pengetahuan yang boleh dipertikaikan.

Merasionalkan perbuatan meniru dengan alasan insan sekeliling juga melakukannya adalah satu kedangkalan dalam berfikir. Salah tetap salah, benar tetap benar. Kita manusia yang memilih untuk melakukannya.
Sekadar saling berpesan sebagai senior yang prihatin akan masa depan rakan seperjuangan. Benar, laluan yang kita pilih ini sulit. Pahit dan sakitnya pasti ada, tetapi kesabaran itu pastilah dikira sebagai pahala. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya, tetapi jalan sukar itulah yang bakal menjanjikan kemanisan pada akhirnya.
Jika anda terjeling insan lain (termasuklah Arab) yang meniru untuk menipu diri sendiri ketika berdepan peperiksaan duniawi, serulah segera diri:

“Jangan tiru macam dia!”

Siiru ‘ala barakatillah.


Nafsah Binti Dulajis
Tahun Enam MB BCh Universiti Zagazig

No comments:

Post a Comment